Agak mustahil suntik vaksin picagari kosong - Utusan Malaysia

Agak mustahil suntik vaksin picagari kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT:  Suntikan vaksin Covid-19 menggunakan picagari kosong seperti yang didakwa oleh seorang penerimanya baru-baru ini agak mustahil untuk berlaku.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kejadian seperti itu tidak boleh terjadi kerana proses pemberian vaksin mempunyai kaedah khas.

Menurutnya, ini kerana setiap suntikan vaksin perlu diperiksa oleh dua atau tiga orang dalam ruang vaksinasi.

Beliau berkata, sebelum vaksin disuntik kepada penerima, vaccinator bertanggungjawab memastikan jenis vaksin yang diberikan iaitu berdasarkan penandaan dibuat semasa proses pendaftaran.

“Prosedur suntikan vaksin perlu dilakukan mengikut kaedah piawai suntikan ‘intramuscular’ dan selepas suntikan, picagari yang kosong dibuang ke dalam bekas alatan tajam terletak berdekatan dengan vaccinator.

“Bahagian farmasi akan memeriksa botol vaksin dan botol-botol ini tidak dibuang tapi kita akan periksa kembali.

“Dengan pematuhan ketat terhadap langkah-langkah itu, adalah agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada penerima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Daerah Selama di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan petugas kesihatan di PPV terlampau letih dan berkemungkinan tidak perasan picagari kosong, Noor Azmi menafikannya berlaku kecuaian.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat siasatan terhadap dakwaan itu sama ada benar atau sebaliknya.

Katanya, beliau juga sudah melihat rakaman video dakwaan tersebut dan bertanyakan  kepada pengirim mengenai lokasi dan masa kejadian, namun pengirim video itu tidak dapat memberikan jawapan.

“Sebab tanya kepada pengirim rakaman video itu untuk mengetahui kejadian dalam paparan video itu berlaku di mana dan jam berapa, tapi tak ada jawapan.

“Perkara seperti ini tidak boleh dibuat lawak, ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main,” katanya.

Noor Azmi mengulas seorang individu mendakwa disuntik menggunakan picagari kosong ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Banting, Selangor.

Individu itu membuat laporan polis mendakwa disuntik menggunakan picagari kosong oleh petugas KKM selepas menonton semula video yang dirakamnya semasa proses vaksinasi.

Individu terbabit turut mendakwa petugas KKM terbabit memarahinya kerana membuat rakaman dan minta memadam video itu selepas memberi suntikan sekali lagi. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN