Kadar tol di 10 lebuh raya kekal

Kadar tol di 10 lebuh raya kekal

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mengekalkan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama di seluruh negara sepanjang 2026 bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya pengguna lebuh raya.

Susulan itu, katanya, tiada sebarang kenaikan kadar tol akan dilaksanakan sepanjang tahun hadapan.

“Keputusan ini adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri pada 23 Julai lalu dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia di mana kerajaan telah bersetuju supaya rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.

“Perkara ini kemudiannya telah dipersetujui secara retrospektif dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember lalu bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan kadar tol tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Antara lebuh raya terlibat termasuk Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Selain itu, kadar tol di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) turut dikekalkan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, kepentingan rakyat tetap didahulukan meskipun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan besar dengan pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi 2026.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya.

Tambahnya, kementerian akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pengurusan lebuh raya negara kekal mampan, efisien dan selari dengan aspirasi kerajaan Madani yang mengutamakan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN