AbePizza berkongsi rezeki - Utusan Malaysia

AbePizza berkongsi rezeki

MOHAMAD Amirul Hakim menyampaikan sumbangan kepada pesakit saraf, Zainab Che Awang di Kampung Baru, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama Mac tahun lalu, Moha­mad Amirul Hakim, 25, antara yang terkesan namun tetap cekal berniaga piza sehingga berjaya membuka kedai sendiri di bandar ini.

Selepas perniagaan diasaskannya iaitu AbePizza berkembang pesat hanya dalam tempoh setahun, usahawan muda itu kini ligat pula turun padang bagi membantu orang ramai yang hidup dalam kesempitan akibat pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad Ami­rul berkata, hatinya tergerak mewujudkan Program Amal Pizza Cita Rasa AbePizza selepas melihat pandemik terus berpanjangan dan semakin ramai yang hidup dalam kesusahan.

Menerusi program itu kata­nya, AbePizza bersama pelanggannya akan berkongsi rezeki mengagihkan barangan keperluan kepada 36 keluarga asnaf di empat kampung sekitar daerah ini bagi meringankan beban ditanggung mereka.

MOHAMAD Amirul Hakim menyantuni keluarga pesakit lumpuh di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG

“Penerima bantuan ini merupakan golongan asnaf di Kampung Chengal Batu, Kampung Merkang, Kampung Baru, Kampung Lot 23 serta sekitar bandar Pasir Puteh.

“Kami turut meng­agihkan bantuan kepada keluarga terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bukit Jawa, Selising,” katanya ketika meng­agihkan bantuan tersebut di sini semalam.

Menurutnya, bantuan turut disalurkan kepada keluarga pesakit kronik dan golongan guru agama di masjid dan surau yang hilang punca pendapatan selepas tidak dapat mengajar dalam tempoh yang lama.

Mac lalu, akhbar ini me­laporkan kejayaan anak Kampung Alor Pasir itu muncul sebagai pemilik restoran AbePizza yang setanding jenama terkenal sedia ada hanya dalam tempoh setahun selepas Covid-19 mengancam dunia.

Graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Multimedia itu bermula dengan cara menerima tempahan piza dalam talian bukan sahaja berjaya membuka kedai sendiri, malah menawarkan pekerjaan kepada anak tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN