GUA MUSANG: Kira-kira 500 kenderaan dari luar yang masuk ke negeri ini diperiksa di dua sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Putih dan Kampung Kundur, di sini sejak semalam hingga tengah hari ini.
Majoriti mereka didapati sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan negatif manakala kira-kira 30 individu lagi yang belum melakukan saringan diarahkan berbuat demikian di kedua-dua SJR tersebut.
Kesemua 30 individu terbabit kemudiannya didapati negatif Covid-19 dan dibenarkan meneruskan perjalanan masing-masing.
Berkuat kuasa semalam, individu yang ingin memasuki Kelantan perlu mengemukakan dokumen pengesahan sudah menjalani ujian saringan Covid-19 sekurang-kurangnya 72 jam sebelum melakukan perjalanan.
Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Muhd. Rafiq Mohd. Kasri berkata, kebanyakan pengguna jalan raya akur dengan arahan dikeluarkan kerajaan negeri apabila membawa surat pengesahan ujian Covid-19 masing-masing.
“Bagi yang belum menjalani ujian swab, kita akan buat di situ juga dan mereka perlu menunggu selama 15 hingga 30 minit untuk mendapatkan keputusan Covid-19.
“Jika negatif baru kita benarkan masuk ke Kelantan dan jika positif kita perlu membuat ujian ulangan untuk pengesahan serta tindakan lanjut termasuk menghantar individu itu ke hospital,” katanya ketika ditemui di SJR Kampung Putih di sini hari ini.
Sementara itu, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd. Rizuan Mohd. Tar, 24, yang datang dari arah Gombak, Selangor berkata, sebelum bertolak ke Kelantan, dia memastikan setiap syarat dipenuhi bagi mengelak sebarang masalah.
“Sepanjang perjalanan saya dari Gombak ke Gua Musang, aliran trafik berjalan lancar kerana jumlah kenderaan agak kurang,” katanya. – UTUSAN