Perlis ditadbir atas nama Perikatan Nasional, bukan Bersatu atau Pas - Utusan Malaysia

Perlis ditadbir atas nama Perikatan Nasional, bukan Bersatu atau Pas

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Walaupun barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hanya akan dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pentadbiran kerajaan negeri tetap diteruskan atas nama Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan Pas untuk tidak menganggotai barisan Exco yang bakal dilantik akan dipatuhi.

Katanya, secara dasarnya, PN yang memerintah Perlis bukan Bersatu atau Pas.

“Kami menghormati pelantikan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu yang dipilih oleh Raja Perlis. Kerajaan PN Perlis akan stabil dan diteruskan seperti biasa meskipun tanpa Exco daripada Pas.

“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN telah menguasai 14 daripada 15 kerusi. Sekarang tinggal 11-1, namun jumlah itu masih kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berikutan situasi semasa di mana Pas membuat ketetapan tidak akan menganggotai barisan Exco, Menteri Besar tidak mempunyai pilihan iaitu terpaksa melantik kesemua empat ADUN Bersatu sebagai Exco.

Shahidan yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Perlis berkata, pihaknya menerima keputusan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan yang menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi terlibat.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkuatkan PN dalam menghadapi PRU16.

“Apa yang berlaku membabitkan PN di peringkat Pusat biar Pusat putus dan kita jangan beremosi, sebaliknya memperkukuhkan semula gabungan dalam berdepan PRU16 seterusnya memastikan Perlis kekal milik PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN