GEORGETOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menyerahkan lima buah feri ikonik Pulau Pinang kepada tiga buah syarikat yang berkelayakan untuk diubah suai.
Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, syarikat-syarikat itu akan mengubah suai feri ikonik berkenaan menjadi sebuah muzium terapung serta masing-masing dua buah sebagai feri pelancongan dan restoran terapung.
Katanya, SPPP telah membuka tender permintaan untuk cadangan (RFP) dari 29 Januari hingga 19 Mac lalu bagi lima buah feri iaitu Feri Talang-Talang, Pulau Payar, Pulau Undan, Pulau Kapas dan Feri Pulau Pinang.
“Tiga syarikat yang terpilih iaitu Syarikat Printhero Merchandise (M) Sdn. Bhd. akan mengubah suai feri menjadi muzium terapung di Tanjung City Marina.
“Syarikat Chuen Shin Aquaculture Sdn. Bhd. memperoleh hak untuk mengubah suai Feri Pulau Kapas dan Pulau Payar menjadi restoran terapung yang kedua-duanya akan ditempatkan berhampiran Pulau Jerejak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Syarikat Kantan Jaya memperoleh hak untuk mengubah suai Feri Pulau Undan dan Pulau Talang-Talang kepada feri pelancongan yang akan berlabuh di Swettenham Pier serta hanya membawa penumpang tanpa kenderaan.
“Saya percaya lima feri ikonik ini akan menjadi tempat pelancongan yang popular dan merangsang ekonomi Pulau Pinang, malah reka bentuk feri juga akan dikekalkan bagi memelihara warisan dan ikon negeri ini.
“Feri Pulau Angsa pula diserahkan kepada kerajaan negeri pada tarikh yang akan ditentukan mereka,” katanya.
Teik Cheng berkata, antara aspek-aspek penilaian yang dilakukan sebelum tiga syarikat itu dipilih adalah merangkumi latar belakang syarikat, kemampuan kewangan, integriti, pengalaman, keselamatan, kebersihan, inovasi serta kreativiti.
“Jawatankuasa Penilaian menjalankan banyak sesi temu duga dengan syarikat yang berkelayakan dan Mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan lalu meluluskan tiga syarikat untuk mengubah suai dan mengendali lima feri ikonik tersebut sepanjang 15 tahun,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua pihak akan menandatangani kontrak pajakan feri selama 10 tahun dengan pilihan penyambungan lima tahun.
“Di samping itu, syarikat yang mengambil alih feri juga mesti menyerahkan wang jaminan RM200,000 setiap feri kepada SPPP,” katanya.










