HULU TERENGGANU: Proses vaksinasi Covid-19 terhadap 300 penggiat pelancongan di Tasik Kenyir di sini, mencatatkan kelainan apabila julung kali diadakan di rumah bot.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pemberian vaksin itu sekali gus dapat memastikan Tasik Kenyir mencapai status imuniti berkelompok seperti disasarkan di samping meningkatkan keyakinan pelancong.
Katanya, vaksinasi di Tasik Kenyir adalah yang kedua dalam siri outreach selepas dilaksanakan di Pulau Kapas, minggu lalu.
“Program hari ini menyasarkan 500 dos vaksin Covid-19 termasuk 200 diberikan kepada penduduk sekitar.
“Kita ingin memastikan semua penggiat pelancongan divaksin segera bagi merancakkan kembali sektor ini sebaik sahaja dibuka kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau program outreach vaksinasi Covid-19 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir hari ini.
Ariffin berkata, program sama akan diteruskan ke Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol dalam masa terdekat.
Sementara itu, seorang pengusaha rumah bot, Abd. Latif Ahmad, 54, berharap pemberian vaksin Covid-19 dapat memberi sinar baharu kepada golongan penggiat pelancongan sekali gus menarik pengunjung ke tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu. – UTUSAN ONLINE










