30 kakitangan HSAH positif Covid-19 - Utusan Malaysia

30 kakitangan HSAH positif Covid-19

MOHD. HAYATI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 30 kakitangan terdiri daripada doktor, jururawat serta pekerja pembersihan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, beliau menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di hospital tersebut.

“Dakwaan kononnya hospital itu menjadi lubuk virus juga agak keterlaluan. Memanglah ada beberapa klinik ditutup seperti klinik pesakit luar untuk proses sanitasi tetapi untuk urusan lain seperti khidmat pandu lalu bagi mendapatkan ubat-ubatan atau bersalin masih dibenarkan.

“Cumanya setakat ini, kes-kes dari hospital lain tidak akan dirujuk ke HSAH. Kes-kes itu akan dirujuk ke hospital lain antaranya Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sejak pagi ini, tular di media sosial kononnya HSAH berada dalam situasi ‘lockdown’ dengan PKPD dilaksanakan di situ.

Selain itu, mesej yang tular tersebut turut mendakwa terdapat hingga 100 kakitangan telah disahkan positif di hospital tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Sementara itu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini situasi di hospital tersebut sedang dikawal dengan orang ramai diminta mendapatkan rawatan di tempat lain melainkan kes-kes kecemasan.

“Pihak hospital akan mengadakan pembersihan terminal di jabatan kecemasan secara berperingkat dengan zon hijau di jabatan itu juga ditutup sementara.

“Pesakit dinasihatkan mendapat rawatan di klinik kesihatan terdekat kecuali kes kecemasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN