200 penduduk Kampung Binjai terputus hubungan l UTUSAN MALAYSIA

200 penduduk Kampung Binjai terputus hubungan

JALAN utama ke Kampung Binjai, Lipis, yang ditenggelami air. - IHSAN APM LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kenaikan air di Sungai Lipis yang semakin ketara menyebabkan 200 penduduk daripada 65 keluarga di Kampung Binjai, dekat sini terputus hubungan.

Kejadian dilaporkan berpunca daripada berlakunya banjir di Raub, sejak semalam hingga menyebabkan limpahan air dan turun menuju ke Sungai Lipis seterusnya ke Sungai Jelai.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Lipis, Mohd. Nor Azhar Yusof berkata, keadaan semasa kampung terputus hubungan itu bergantung kepada paras air Sungai Jelai.

Menurutnya, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat sepenuhnya melakukan pemantauan paras air dari semasa ke semasa untuk mendapatkan laporan yang tepat mengenai perkembangan keadaan bencana.

“Sehingga hari ini Kampung Binjai masih terjejas dan sepenuhnya terputus hubungan. Pemantauan melihat kenaikan trend air terus meningkat berbanding semalam. Rata-rata penduduk kampung mula menggunakan bot untuk membeli barang keperluan di bandar.

“Seramai 200 orang penduduk kampung daripada 65 keluarga terjejas dan sekiranya keadaan berlarutan bakul makanan akan disalurkan kepada mereka pada hari keempat terputus hubungan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Raub dilanda banjir hingga menyebabkan beberapa kampung di Lipis turut terjejas.

Sementara itu, pemantauan di kawasan Kampung Lubuk Kulit, Kampung Beletik dan Kampung Sungai Padi yang turut terputus hubungan semalam, mendapati trend air sudah mula menurun.

“Susulan daripada itu, laluan utama untuk ke bandar dan melepasi kampung-kampung berkenaan sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Berdasarkan laporan, pusat pemindahan masih belum dibuka dan tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam tempoh 48 jam bencana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya