PETALING JAYA: Sebanyak 202,951 premis diperiksa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Op Patuh sejak 25 Jun lalu hingga semalam.
Jumlah itu melibatkan 25,651 kilang dan 169,629 premis perniagaan di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, selain itu, pemeriksaan turut dilakukan terhadap 6,258 tapak pembinaan dan 1,053 asrama penempatan pekerja.
Katanya, hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 1,919 premis dikompaun selepas didapati melakukan kesalahan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Malah, kira-kira 250 premis yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut diarahkan tutup.
“Operasi melibatkan seramai 23,855 pegawai dan anggota PDRM bersama agensi lain membabitkan 5,366 pasukan pemeriksaan ditugaskan dalam Op Patuh di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Acryl Sani turut mengingatkan semua pihak untuk terus mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE










