1,030 petugas di Tanjung Bin akan divaksin melalui PIKAS - Utusan Malaysia

1,030 petugas di Tanjung Bin akan divaksin melalui PIKAS

AHMAD Md. Kahar (tengah) ketika pemantauan Op Patuh oleh pihak berkuasa di Tanjung Bin, Serkat, di Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seramai 1,030 orang petugas yang menjalankan kerja-kerja di Terminal Petroleum ATT Tanjung Bin di sini dijangka menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS).

Pengarah ATT Tanjung Bin (ATB) Sdn. Bhd., Ahmad Md. Kahar berkata, pihaknya masih menunggu permohonan yang dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya, selain PIKAS, pihaknya juga menggunakan saluran Kementerian Kesihatan dan klinik swasta bagi membolehkan semua kakitangan menerima suntikan vaksin tersebut.

“Setakat ini hanya 20 peratus daripada 98 kakitangan tetap telah menerima suntikan vaksin manakala selebihnya masih menunggu tarikh pemberian vaksin selanjutnya,” katanya ketika ditemui sempena Op Patuh di sini hari ini.

Tambah Ahmad, ekoran daripada beberapa kes positif Covid-19 melibatkan kakitangan sebelum ini, pihaknya juga telah mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memasuki terminal petroleum berkenaan.

“Bagi kontraktor yang hendak menjalankan kerja-kerja di sini, perlu menunjukkan laporan ujian calitan bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada wabak Covid-19 ini.

“Selain itu, ujian calitan akan turut dijalankan secara berkala supaya kakitangan atau kontraktor yang berurusan di sini bebas daripada jangkitan tersebut bagi memastikan perjalanan harian terminal ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Jelas beliau, pihak pengurusan sentiasa patuh kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan berkaitan SOP yang dikeluarkan.

“Sebagai contoh, daripada 98 kakitangan tetap hanya 35 orang dibenarkan datang bertugas pada satu-satu masa bagi mematuhi kadar 60 peratus dibenarkan di sektor industri termasuk terminal minyak dan gas ini,” jelasnya.

Terminal Petroleum Tanjung Bin kini menerima kehadiran kira-kira 100 hingga 150 buah kapal tangki sebulan yang membawa minyak yang siap diproses daripada pelbagai negara seperti Jepun, China, Eropah, Singapura, Indonesia dan Australia.

Malah, kira-kira 1,200 trak dan lori pengangkut minyak mengedarkan bahan api tersebut bagi kegunaan tempatan khususnya bagi kawasan selatan sentiasa berurusan di terminal berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN