DUNGUN: Seorang warga emas yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 meletakkan syarat agar anak-anaknya yang tinggal berjauhan selesai menjalani Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum mereka dibenarkan berjumpa.
Zainun Salleh, 86, dari Kampung Sura Hujung di sini berkata, sudah lebih setahun dia tidak bertemu dengan empat anaknya yang menetap di Selangor dan Perak sekali gus berharap ahli keluarganya dapat disatukan semula selepas kesemuanya menerima vaksin.
“Panggilan video menjadi pengubat rindu kepada anak-anak dan cucu, walaupun dapat bercakap dan tengok muka tetapi tidak sama dengan berjumpa depan-depan.
“Jadi saya berharap dapat berjumpa dengan empat daripada enam anak saya yang tinggal di luar Terengganu selepas mereka selesai menerima vaksin,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini baru-baru ini.
Zainun berkata, walaupun mempunyai penyakit darah tinggi, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.
Katanya, jururawat ada berpesan supaya mengambil panadol yang dibekalkan, sekiranya pening atau demam.
“Saya bimbang dijangkiti Covid-19 sebab tergolong dalam kelompok berisiko tinggi, jadi apabila kerajaan menyeru rakyat mengambil vaksin dan saya tengok pandangan ustaz serta mufti, maka saya terus bersetuju untuk disuntik.
“Alhamdulillah, semasa dos pertama, saya tak mengalami apa-apa kesan sama ada pening atau demam,” katanya.









