MEXICO CITY: Mexico akan memulakan kempen Piala Dunia di laman sendiri menentang Afrika Selatan pada awal pagi esok dengan harapan tinggi penyokong yang mahukan kemenangan di Stadium Azteca.
Aksi Kumpulan A itu menandakan kembalinya kejohanan terbesar bola sepak dunia ke stadium ikonik berkenaan buat kali ketiga selepas menjadi tuan rumah pada edisi 1970 dan 1986.
Pertemuan berkenaan juga bakal mengimbau kenangan pembukaan Piala Dunia 2010 apabila Afrika Selatan berjaya mengikat Mexico 1-1 di Johannesburg.
Kali ini, Mexico turun sebagai pasukan pilihan dan menyedari kemenangan amat penting bagi mencerahkan peluang muncul juara kumpulan yang turut dibarisi Korea Selatan dan Republik Czech.
Skuad kendalian Javier Aguirre turun dengan keyakinan tinggi apabila tidak tewas dalam lapan perlawanan terakhir, menyamai rekod tanpa kalah terpanjang yang pernah mereka bawa ke Piala Dunia.
Dijangka lebih 80,000 penyokong membanjiri Stadium Azteca yang sudah dinaik taraf bagi menjadi hos perlawanan pertama kejohanan edisi 48 pasukan itu.
Bagaimanapun, kelebihan beraksi di laman sendiri turut hadir bersama tekanan besar buat Mexico yang diharapkan mampu memanfaatkan sokongan penyokong sepenuhnya.
Afrika Selatan pula kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak menjadi tuan rumah pada 2010 dan jurulatihnya, Hugo Broos percaya skuadnya mampu mencipta kejutan.
Pengendali dari Belgium itu yang pernah berdepan Mexico pada Piala Dunia 1986 mengakui suasana aksi pembukaan bakal mencabar, namun menegaskan pemainnya perlu kekal fokus.
“Bagi kami, ini akan menjadi pengalaman yang hebat. Adalah penting untuk kami kekal berpegang kepada pelan permainan dan tidak terlalu memikirkan apa yang berlaku di tempat duduk penyokong,” katanya.
Persiapan Afrika Selatan sedikit terganggu apabila beberapa anggota rombongan pasukan lewat tiba akibat masalah visa, sekali gus menjejaskan tempoh penyesuaian mereka dengan cuaca dan keadaan di Mexico.
Bagaimanapun, selepas berjaya mengharungi kempen kelayakan yang mencabar, Broos berharap anak buahnya mampu sekali lagi menyekat Mexico seperti yang dilakukan 16 tahun lalu.
Bagi Mexico, sebarang keputusan selain kemenangan akan dianggap sebagai permulaan yang mengecewakan dalam kejohanan yang mereka harapkan mampu menghadirkan kejayaan bersejarah di bumi sendiri. – AGENSI/UTUSAN










