Ubah kuasa Ahmad Zahid dalam pemberian watikah calon PRU-15 - Utusan Malaysia

Ubah kuasa Ahmad Zahid dalam pemberian watikah calon PRU-15

WATIKAH calon Pilihan Raya Umum Ke-15 dituntut datang daripada bahagian, bukannya Presiden UMNO semata-mata. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO perlu mengubah kaedah watikah pelantikan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan menetapkan satu mekanisme baharu iaitu tidak meletakkan kuasa 100 peratus kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semata-mata.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, sebaliknya nama-nama pencalonan perlu datang daripada peringkat bahagian yang lebih mengenali individu layak dilantik mengikut pilihan akar umbi dan rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, apa jua keputusan Presiden perlu dibuat berdasarkan cadangan peringkat jawatankuasa bahagian dan cawangan yang mengemukakan calon untuk bertanding di kawasan masing-masing.

Justeru katanya, kepimpinan parti peringkat bahagian tidak perlu terlampau gusar isu watikah pencalonan hanya kerana bukan pilihan Ahmad Zahid.

“(Isu watikah pencalonan) perlu ada mekanisme, buat satu bentuk baharu. Kadang-kadang kita nampak ada ketua bahagian hebat melawan arus (dengan Presiden) tetapi di kawasan dia okey. Ini masalah yang jadi bila letak orang lain, mungkin kalah di kawasan itu.

“Jadi, mesti kena ubah cara supaya (pencalonan) dibuat oleh bahagian, nama mesti datang daripada bahagian barulah Presiden boleh keluarkan watikah, bukan kata Presiden tak kenal siapa. Inilah yang menyebabkan calon payung terjun mari dari ‘atas’, kita pun tidak tahu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata, ada dua perbezaan perlu dilihat dalam isu pencalonan iaitu antara kehendak parti atau mengikut kehendak Presiden.

Beliau berkata, UMNO perlu mengehadkan kuasa Presiden iaitu tidak hanya bergantung kepada keputusan Presiden kerana tidak semestinya calon yang dibuatnya adalah betul mengikut kehendak parti.

“Kadang-kadang saya nampak dekat PRU ramai balik kampung, katanya nama dia dah dapat restu Presiden, jadi ini perlu kita atasi. Saya rasa kena hadkan kuasa Presiden, jangan kata dia melawan Presiden, maka tak dicalonkan.

“Tetapi kalau orang itu melawan parti, memang sepatutnya tidak dicalonkan sebab kalau lawan Presiden itu, ia hanya berbentuk peribadi. Jadi mungkin watikah ini kalau kita boleh ubah bukan semata-mata atau sewenang-wenangnya boleh dikeluarkan Presiden tetapi mesti datang daripada bahagian.

“Tak boleh kata Presiden tak mahu dan nak lantik orang lain, itu tidak betul kerana tidak ikut akar umbi. Ini sepatutnya dibuat daripada dulu. Kadang-kadang calon tak popular di kawasan tapi kerana dia rapat dengan Presiden, Presiden ambil, itu tak betul juga,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui beliau merupakan perancang utama dalam mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menjadi jurucakap kepada kesemua 25 wakil rakyat BN sekiranya dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Usaha kesemua 25 wakil rakyat BN itu disebabkan sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Ahmad Zahid mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya