Tiga sekeluarga ditahan, pokok ganja bernilai RM84,000 dirampas - Utusan Malaysia

Tiga sekeluarga ditahan, pokok ganja bernilai RM84,000 dirampas

MOHD. Zaid Hassan menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas selepas tiga beranak ditahan dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Semenyih, Kajang, Selangor Jumaat lalu. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan tiga sekeluarga menjadikan rumah banglo di Semenyih, dekat sini sebagai tempat memproses dan menjual ganja terbongkar selepas kediaman itu diserbu, Jumaat lalu.

Serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira pukul 10 malam itu dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua suspek ditahan berusia di antara 18 hingga 58 tahun. 

“Hasil daripada siasatan mendapati, kesemua suspek merupakan warga Singapura yang berselindung dengan menjual minyak wangi.

“Mereka dipercayai membeli benih di sebuah laman web yang berpangkalan di luar negara, kemudian ditanam dan diproses untuk dipasarkan bagi pasaran antarabangsa dan juga tempatan secara online, ” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd.Zaid memberitahu, kegiatan tersebut beroperasi selama empat bulan sejak Februari lalu. 

Tambahnya, hasil daripada serbuan,  polis merampas kesemua hasil rampasan bernilai RM84,000.

“Pihak polis merampas lapan batang pokok ganja serta 23 buah botol kaca berisi daun kering disyaki daun ganja.

“Turut dirampas pelbagai peralatan untuk menanam dan mengawal suhu pokok ganja tersebut serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

“Hasil daripada ujian saringan air kencing, seorang suspek didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan kes disiasat di bawah 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

“Kesemua suspek direman selama lima hari bermula Sabtu lepas hingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN