PETALING JAYA: Satu tempoh yang munasabah perlu ditetapkan bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) supaya momentum dan motivasi pelajar serta guru tidak terganggu.
Ini kerana pelaksanaan kaedah pembelajaran itu tidak wajar bergantung kepada jumlah kes harian jangkitan Covid-19 semata-mata dan Kementerian Pendidikan perlu mengambil kira persediaan pelajar dan guru.
Hal berkenaan dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa penetapan PdPR melalui pembukaan dan penutupan sekolah bergantung kepada kadar jangkitan Covid-19 mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.
“Melaksanakan PdPR dan kemudian bergantung sama ada kes baru meningkat sebelum PdPR disambung, strategi pendidikan yang tidak berkesan. Cara itu menyebabkan sistem pendidikan negara jadi haru biru.
“Momentum dan motivasi pembelajaran anak-anak dan pengajaran para guru terganggu. Saya sependapat dengan pandangan PdPR perlu dilaksanakan untuk satu tempoh yang munasabah tanpa mengira sama ada kes akan naik atau turun.
“Ini membolehkan pelajar dan murid sekolah serta guru lebih bersedia melaksanakan PdPR dengan efektif dari segi fizikal dan mental. Mekanisme pendidikan tidak boleh berterusan ‘flip-flop’ sekejap buka sekejap tutup kerana mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Justeru beliau menggesa Kementerian Pendidikan membuat ketetapan yang jelas tentang pelaksanaan PdPR dan dalam masa sama mengatasi masalah berkaitan PdPR seperti capaian internet dan pemilikan alat peranti.
Tambah bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pemberian vaksin kepada guru dan kakitangan sekolah perlu diberi keutamaan sebelum sekolah kembali dibuka kerana hal demikian dilihat tidak adil bagi mereka yang sudah disuntik vaksin tetapi duduk di rumah dan tidak boleh bekerja.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dilapor akan mengadakan sidang akhbar khas pada pukul 10 pagi ini bagi menyampaikan perkembangan mengenai kaedah pembelajaran.
Sebelum ini, PdPR dilaksanakan semula pada 16 Mei lalu selepas sekolah dibuka pada 4 April bagi sesi persekolahan tahun 2021. Bagaimanapun, kembali ditutup mulai cuti sambutan Aidilfitri pada 11 Mei.
Kemudian PdPR disambung kembali mulai 16 Mei hingga 13 Jun ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan PdPR kemungkinan akan dilanjutkan sehingga Ogos nanti berikutan peningkatan kes harian wabak pandemik dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).










