fbpx

24 Julai 2021, 7:11 am

  TERKINI

‘Takkan nak vaksin PATI tinggal di semak’

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa semua pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu menyerah diri sebelum mereka layak menyertai program vaksinasi Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin malah menegaskan, bukan semua warga asing akan diberi peluang menerima imunisasi itu terutama yang datang secara haram.

“Takkanlah kita (kerajaan) akan bagi juga vaksin ini begitu sahaja kepada PATI termasuk yang tinggal di hutan semak-samun dan tanpa ada dokumen sah,” katanya dalam nada sindiran.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar menerusi siaran langsung Facebook hari ini bagi mengumumkan tindakan penguatkuasaan kementerian susulan pelanjutan sekatan pergerakan penuh hingga 28 Jun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan tetap tidak akan berkompromi dengan PATI bahkan mereka tiada dalam senarai untuk terlibat dalam vaksinasi.

Sebaliknya, hanya warga asing yang memiliki dokumen sah akan mendapat imunisasi sejajar matlamat kerajaan bagi mencapai komuniti kelompok dengan 70 peratus penduduk divaksin.


“Mungkin ada khilaf atau salah faham konon PATI pun akan terima vaksin seolah-olah rakyat sendiri tidak diberi keutamaan oleh kerajaan, walhal perkara itu kurang tepat,” tegas Hamzah.

Setakat ini ujarnya dianggarkan terdapat 2.5 juta warga asing di Malaysia dengan 268,418 yang bertaraf penduduk tetap atau MyPR dan 8,801 lagi penduduk sementara atau MyKAS.

Mereka itu katanya memiliki dokumen sah yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan layak masuk senarai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Begitu juga rakyat asing yang ada permit masuk, pas residen, pelajar, peserta skim Malaysia Rumah Keduaku, ekspatriat, pas lawatan sosial untuk pasangan warga Malaysia dan lain-lain.

“Namun, isu ini timbul melibatkan 1.4 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan Jabatan Imigresen kerana ada keliru menyangka mereka sebagai PATI,” jelasnya.

Sedangkan kata Hamzah, isu sepatutnya dirisaukan ialah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dianggarkan berjumlah 178,715 orang.

Kementerian Dalam Negeri katanya, sudah beberapa kali memohon senarai nama terlibat tetapi pejabat UNHCR di Kuala Lumpur sehingga sekarang masih tidak memberi maklum balas.

Situasi itu ternyata amat mengecewakan kementerian dan dalam nada sinis, beliau merujuk UNHCR seolah-olah bapa dan beliau seumpama anak yang tidak layak meminta maklumat.

Keengganan UNHCR itu menyebabkan kerajaan gagal mengenal pasti keberadaan pelarian di seluruh negara dan lebih dibimbangi bebas membawa virus Covid-19 terhadap masyarakat.

“Kepada PATI, saya minta anda agar jangan takut tetapi sila segera tampil serah diri untuk didokumentasi secara sah sama ada masuk Pelan Rekalibrasi Pulang atau pun Kerja,” katanya.

Hamzah berkata, kementerian itu juga akan bekerjasama dengan pihak kedutaan bagi PATI yang langsung tiada dokumen untuk balik ke negara asal atau didaftarkan bekerja di Malaysia. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI