'Tak boleh makan durian selepas divaksin?' - Utusan Malaysia

‘Tak boleh makan durian selepas divaksin?’

NOOR Azmi Ghazali melihat proses suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang penerima ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka, Tapah. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Memakan buah durian tidak memberi kesan kepada individu sama ada selepas atau sebelum mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, tiada dalam amalan perubatan yang menyatakan demikian sebaliknya pengambilan makanan berkhasiat dan seimbang adalah digalakkan sebelum dan selepas mengambil vaksin.

“Tidak termaktub dalam buku perubatan bahawa tidak boleh makan durian selepas cucuk (vaksin Covid-19), itu tidak betul.

“Yang sebetulnya, kita tidak boleh makan makanan yang terlalu manis kerana itu yang akan membawa masalah kepada kesihatan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Noor Azmi berkata demikian bagi mengulas dakwaan tular di media sosial berkaitan seorang individu yang telah divaksinasi meninggal dunia selepas makan durian.

Menurut beliau, hasil bedah siasat ke atas individu berusia 49 tahun itu mendapati punca kematiannya adalah disebabkan serangan jantung.

Katanya, penyebaran maklumat palsu itu telah menyebabkan kekeliruan yang akhirnya mendatangkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Sekarang musim durian, disebabkan kes ini, orang mungkin takut untuk makan durian, mana yang sepatutnya dicucuk, dia takut nak pergi cucuk sebab mahu makan durian.

“Saya nasihatkan rakyat, jangan terlalu teruja untuk tular sesuatu berita. Perkara kontroversi yang kita sendiri tidak pasti jangan hantar. Biarlah kerajaan sendiri yang menjawabnya dan menjelaskan secara saintifik dan data,” katanya.

Baru-baru ini, tular di laman sosial apabila orang ramai menerima mesej kononnya seorang individu yang telah divaksinasi meninggal dunia selepas makan durian.

“Beritahu keluarga dan rakan-rakan untuk jangan makan durian sebelum atau selepas vaksinasi.

“Rakan saya di kebun diberi vaksin dan kembali makan durian pada keesokan harinya dan meninggal dunia.

“Lebih baik mengetahui dan berhati-hati. Hidup itu berharga, kerana suatu saat kejahilan akan membunuhnya, menyedihkan,” kata mesej tular itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya