PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan elaun sukarelawan orang kurang upaya (OKU) di pusat pemberian vaksin (PPV) untuk komuniti OKU bakal menikmati kadar elaun harian RM100.
Perdana Menteri berkata, mereka menikmati sama kenaikan elaun yang bakal diterima sukarelawan kesihatan bermula hujung bulan ini seperti diumumkan di Pagoh, kelmarin.
Katanya, proses vaksinasi golongan OKU bukanlah suatu tugas mudah kerana sifat atau tidak balas mereka yang tentunya berlainan daripada biasa, justeru kesabaran petugas kesihatan dan sukarelawan di PPV ini mendepani kerenah mereka amat dihargai.
“Langkah menyediakan bilik bertenang atau ‘calm room’ yang dilengkapi permainan dan juga alunan muzik juga adalah satu inisiatif yang amat baik dalam membantu menenangkan anak-anak OKU ini.
“Usaha kerajaan dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta ini amat diperlukan dalam memastikan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar bayaran saguhati harian kepada kira-kira 19,000 sukarelawan kesihatan yang bertugas di PPV.
Katanya, bayaran daripada RM50 kepada RM100 sehari yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM180 juta itu turut diberikan kepada sukarelawan sama di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC).
Terdahulu, Perdana Menteri melakukan tinjauan ke PPV OKU pandu lalu di Menara Sime Darby Plantation iaitu yang pertama di negara ini bagi melihat proses pemberian vaksin kepada komuniti OKU.
PPV OKU pandu lalu itu dikendalikan oleh OKU Sentral dibuka khas membantu ahli komuniti itu menerima suntikan vaksin mengikut kesesuaian dan keadaan mereka dengan dibantu oleh sukarelawan OKU yang berpengalaman berurusan dengan mereka.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Pengerusi OKU Sentral Senator, Datuk Ras Adiba Radzi.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap agar lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan NGO dapat berganding bahu serta memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk menjayakan program vaksinasi.
“Terima kasih kepada semua petugas kesihatan, OKU Sentral sebagai pengendali, sukarelawan OKU, Sime Darby Plantation dan Yayasan Sime Darby yang membantu menaja lokasi dan perkhidmatan logistik sepanjang program vaksinasi OKU ini dijalankan,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin memberitahu, sebanyak 280,904 daripada 579,150 individu OKU yang berdaftar di bawah sistem maklumat OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mendaftar dengan MySejahtera untuk menerima vaksin Covid-19 sehingga 20 Jun lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 15,914 individu telah menerima dos pertama manakala kira-kira 4,000 individu menerima dos kedua,” katanya.
Beliau melahirkan perasaan bangga dengan kesedaran ahli keluarga dan penjaga individu OKU tentang ancaman virus Covid-19 serta menghargai sokongan mereka terhadap program imunisasi itu.










