800,000 penjawat awam sumbang RM30 juta bantu tangani krisis Covid-19 - Utusan Malaysia

800,000 penjawat awam sumbang RM30 juta bantu tangani krisis Covid-19

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 800,000 penjawat awam bakal menyumbang imbuhan dinikmati mereka selama tiga bulan kepada Akaun Amanah Bencana yang dianggarkan berjumlah RM30 juta.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ia sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dalam membantu kerajaan mendepani Covid-19 yang serius ketika ini.

“Bagaimanapun, sumbangan daripada elaun ini tidak meliputi petugas barisan hadapan serta penjawat awam rendah dari Gred 1 hingga 28,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas mengumumkan inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan.

Peruntukan RM40 bilion disediakan sebagai tambahan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara, penyediaan bantuan tambahan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas teruk.

Beliau juga memaklumkan semua menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan sebagai tanda prihatin dan menyumbang kepada usaha murni itu.

Mohd. Zuki berkata, untuk golongan penjawat awam pula, ia melibatkan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) termasuk Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).

Menurut beliau, kadar sumbangannya pada setiap bulan ialah 10 paratus daripada elaun ITK bagi kelompok JUSA Gred C, 20 peratus bagi JUSA Gred B dan 50 peratus bagi JUSA Gred A.

“Sementara bagi penjawat awam kategori pengurusan tertinggi dari Gred 44 hingga 56 pula, kadar sumbangan mereka untuk akaun ini hanya membabitkan lima peratus,” katanya.

Beliau menambah, sebanyak RM10 daripada Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga 41 turut disumbang kepada akaun berkenaan sepanjang tiga bulan.

Katanya, Surat edaran dan perincian mengenai pelaksanaan pengurangan kadar elaun dua imbuhan berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebagai rujukan pegawai terlibat.

“Semoga pengorbanan ini akan menjadi asbab kebaikan dalam mengharungi kehidupan pada masa akan datang bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya