KOTA BELUD: Perbuatan keji seorang lelaki merogol sepupunya yang berusia 13 tahun terbongkar apabila remaja perempuan itu melahirkan bayi pada pukul 3 pagi semalam.
Ibu remaja perempuan itu terkejut ketika melihat anak perempuannya sedang membersihkan bayi yang baru dilahirkan di rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, susulan kejadian itu, ibu remaja perempuan tersebut segera membawa anaknya dan bayi berkenaan ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai dirogol oleh sepupu lelakinya berusia 14 tahun dan kejadian berulang selama tiga kali sejak Ogos tahun lalu.
“Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, petang kelmarin untuk siasatan selanjutnya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol remaja bawah umur dan hasil siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE