PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin bagi sektor pembinaan bermula 1 Julai ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, tumpuan akan diberikan kepada kawasan tapak pembinaan yang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, pelaksanaan tersebut akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya bagi memastikan suntikan diberi dengan kadar segera.
“Program pemberian vaksin ini akan diperluaskan kepada industri lain dan ia tidak akan mengganggu perjalanan proses sedia ada.
“Malah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) juga telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk melicinkan program berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Maritim di Pelabuhan Klang hari ini.
Turut sama dalam lawatan itu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. – UTUSAN ONLINE