SHAH ALAM: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menggesa kerajaan untuk bertindak segera bagi menangani fenomena bunuh diri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.
Kebimbangan dan kemurungan yang mendorong kes bunuh diri boleh berlaku di atas banyak faktor, seperti hutang, kehilangan pekerjaan, kehilangan sumber pendapatan dan sebagainya.
Menurut Pengerusinya, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu mewujudkan segera kerjasama pelbagai agensi berkaitan, bagi menangani isu itu secara bersepadu dan menguar-uarkan segera melalui media massa agar mereka yang bermasalah dapat dibantu.
“Kementerian berkenaan perlu menggerakkan skuad prihatin rakyat atau skuad penyayang bagi memberikan nasihat-nasihat berguna kepada yang memerlukan sebagai langkah pencegahan dan pemulihan, berserta pemberian skim-skim bantuan yang sewajarnya.
“Kerajaan juga diminta mempergiatkan penerangan di dalam media massa, televisyen dan radio agar rakyat mengetahui di mana tempat mereka boleh mengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Al-Syeikh Abdul Halim berkata, kerajaan juga perlu mempercepatkan vaksinasi kepada golongan agamawan, seperti para imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid, agar masjid dapat dibuka segera kepada orang awam dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengawal gejala kebimbangan dan kemurungan yang berlaku dalam masyarakat.
Katanya, PUM turut berharap agar kesemua tindakan tersebut dapat dipercepatkan.
“PUM bersedia membantu dalam aspek mengurangkan tekanan mental dalam masyarakat,” katanya.