Runtuhan perancah besi: Pemaju boleh diambil tindakan - Utusan Malaysia

Runtuhan perancah besi: Pemaju boleh diambil tindakan

EDDIN Syazlee Shith beramah mesra dengan warga emas ketika meninjau operasi PPV Bergerak di Dewan Tuanku Ampuan Najihah, Seri Menanti, Kuala Pilah. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pihak pemaju boleh dikenakan tindakan sekiranya siasatan mendapati terdapat ketidakpatuhan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang mengakibatkan insiden runtuhan perancah besi sebuah lebuh raya yang sedang dalam proses pembinaan di Petaling Jaya, kelmarin.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, tindakan yang boleh diambil terhadap pemaju termasuk denda selain lesen operasi digantung jika kesalahan itu serius.

“Setakat ini siasatan atas insiden yang berlaku itu sedang dibuat.

“Saya percaya sekiranya ada bukti yang cukup menunjukkan pemaju tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, kita kena ambil tindakan termasuk mendenda bahkan kalau serius boleh menggantung lesen untuk beroperasi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Dewan Tuanku Ampuan Najihah, Seri Menanti dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Datuk Abd. Samad Ibrahim.

Dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan 40-an cedera selepas perancah besi runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) dalam kejadian pada pukul 7.15 malam, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pekerja berusia 40-an itu dilaporkan meninggal dunia petang semalam di Wad Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

Pihak konsesi iaitu Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn. Bhd. (PLDSASB) juga diarahkan menghentikan serta-merta kerja yang melibatkan struktur sementara.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata, hanya projek pembinaan yang memerlukan pelaksanaan segera diberikan kelonggaran untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

“Kalau ada keperluan, yang kalau tidak dilaksanakan secepat mungkin, ia akan mendatangkan kesulitan kepada rakyat, itu kita teruskan dan diberi kelonggaran untuk beroperasi. Mana-mana kalau boleh ditangguhkan kita tangguhkan kerana keutamaan adalah untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kira-kira 1,000 penduduk disasarkan untuk divaksin sepanjang lima hari pelaksanaan PPV Bergerak di Dewan Tuanku Ampuan Najihah, Seri Menanti dengan sasaran kepada warga emas dan golongan komorbid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN