PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 754 individu dicekup dengan 701 daripadanya dikompaun manakala 53 lagi direman.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi semalam ialah gagal merekod butiran sebanyak 144 kes diikuti merentas kawasan dan makan di premis dengan 141 kes.
Ia disusuli kesalahan lazim tidak memakai pelitup muka (135), tiada penjarakan fizikal (92), membawa penumpang secara berlebihan (84), tidak patuh arahan PKP (78) dan lain-lain (80).
“Seramai 44 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan sembilan kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain sebanyak 207 bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 10 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seramai 452 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
Beliau memberitahu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 559 peruncit, 147 pemborong dan 31 pengilang selain melakukan sejumlah 1,433 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya lapan premis dikenakan kompaun. – UTUSAN ONLINE










