KHARTOUM: Kerajaan Sudan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian berhubung projek Grand Ethiopian Renaissance Dam (GERD) di Sungai Nil.
Projek GERD dibangunkan oleh kerajaan Ethiopia dengan harapan mampu membantu pembangunan ekonomi negara dan menjana tenaga elektrik.
Bagaimanapun, Sudan dan Mesir bimbang empangan yang mempunyai kapasiti 6,400 megawatt elektrik itu akan mengehadkan bekalan air yang penting.
Menteri Luar Sudan, Sadiq al- Mahdi menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat dengan segera untuk membincangkan projek itu dan kesannya terhadap keselamatan jutaan penduduk.
Sadiq menerusi surat menggesa majlis keselamatan mendesak Ethiopia untuk berhenti mengisi empangan tersebut yang dilihat bakal memburukkan lagi pertikaian itu.
Malah, katanya, tindakan itu turut menimbulkan ancaman terhadap keselamatan dan keamanan antarabangsa.
Setakat ini, kerajaan Ethiopia belum mengeluarkan kenyataan atau memberi respon terhadap surat tersebut.
Awal bulan ini, Sudan dan Mesir bersetuju untuk bekerjasama di semua peringkat bagi mendesak Ethiopia berunding semula mengenai perjanjian itu.
Kedua-dua negara itu pernah memohon komuniti antarabangsa untuk campur tangan untuk menyelesaikan pertikaian berhubung projek tersebut. – AGENSI










