Polis terkhilaf kompaun 31 pekerja tidak kemas kini MySejahtera

Polis terkhilaf kompaun 31 pekerja tidak kemas kini MySejahtera

PEKERJA syarikat minyak yang ditawarkan membayar kompaun kerana gagal memaklumkan status kesihatan secara harian melalui aplikasi MySejahtera di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, Perak, baru-baru ini. - FOTO/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pegawai penguat kuasa disarankan supaya memberi nasihat atau amaran terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal mematuhi keperluan-keperluan tertentu dalam prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diwartakan.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, walaupun SOP telah diwartakan dan rakyat dianggap sudah mengetahuinya daripada segi undang-undang, tetapi terlalu banyak SOP dikeluarkan dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa sehingga sukar bagi orang ramai mengikuti perubahan-perubahan tersebut. 

Pada masa sama, katanya, arahan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan adalah tidak diwartakan, jadi orang awam tidak boleh dianggap telah mengetahui arahan-arahan tersebut.

Jelasnya, arahan-arahan tersebut hendaklah disampaikan kepada mana-mana pihak berkaitan terlebih dulu dan hanya selepas pihak itu ingkar mematuhinya, barulah boleh kompaun dikeluarkan atau mendakwa mereka ke mahkamah.

“Saya terperanjat membaca berita seramai 31 pekerja syarikat minyak dan gas dan kilang ayam di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, telah ditawarkan untuk membayar kompaun kerana mereka dikatakan telah gagal memaklumkan status kesihatan secara harian melalui aplikasi MySejahtera.

“Di bawah arahan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, keperluan memaklumkan status kesihatan secara harian melalui aplikasi MySejahtera hanya terpakai untuk pekerja kes positif Covid-19 atau mereka yang ada kontak fizikal dengan kes positif Covid-19 bagi sektor pengilangan dan pembuatan semasa PKP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Koo Ham, beliau difahamkan kesemua 31 pekerja-pekerja tersebut bukannya kes positif Covid-19 atau ada kontak fizikal dengan kes positif Covid-19. 

Justeru, beliau menggesa pihak polis menarik balik atau membatalkan kompaun-kompaun tersebut dan membuat pengumuman bahawa ia adalah satu kesilapan. 

Tegasnya, pengumuman kesilapan itu penting kerana bukan sahaja kompaun-kompaun tersebut telah menimbulkan kebimbangan kepada 31 pekerja terlibat dan keluarga mereka tetapi ia telah menimbulkan kebimbangan di seluruh negara kerana berita mengenainya telah tersebar luas melalui surat khabar, stesen televisyen dan media sosial.

“Kita hendaklah melaksanakan niat atau semangat sesuatu undang-undang dan bukannya melaksanakan peruntukan undang-undang secara literal,” katanya.

Justeru, Koo Ham yang juga Penasihat DAP Perak berkata, parti itu ingin menawarkan perkhidmatan guaman percuma kepada semua 31 pekerja terlibat.

Pada masa sama, katanya, mana-mana pihak lain yang menerima kompaun berkaitan dengan Covid-19 juga boleh menghubungi pihaknya untuk nasihat dan bantuan guaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.