PUTRAJAYA: Kerajaan menyarankan agar individu yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 diberi keutamaan sebagai petugas ibadah korban ketika Aidiladha.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ia antara senarai enam nasihat untuk dilaksanakan pihak terlibat di seluruh negara.
“Petugas yang dipilih juga hendaklah sihat, tidak bergejala dan bukan dalam kalangan penghidap penyakit kronik bagi mengelak berlaku isu penularan Covid-19,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar khas secara maya mengenai prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban bersempena perayaan Hari Raya Aidiladha.
Pengumuman itu turut membolehkan umat Islam di negara ini melakukan persediaan lebih awal jika mahu melaksanakan ibadah tersebut termasuk tempahan haiwan ternakan.
Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada Isnin lalu turut memberi jaminan jumlah bekalan ruminan adalah cukup untuk Hari Raya Aidiladha dijangka pada 20 Julai ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, proses penyembelihan dilaksanakan di 27 buah rumah sembelihan JPV dan 35 premis swasta yang dilesenkan oleh pihak jabatan itu di negara ini.
“Bagaimanapun jika mahu dibuat di pekarangan masjid atau surau, ia perlu dapat kelulusan JPV atau pihak berkuasa tempatan atau agama atau pejabat kesihatan daerah,” katanya.
Haiwan disembelih itu jelasnya, tidak boleh lebih lima ekor sehari dengan proses potongan dan pembungkusan hendaklah di tempat lapang yang tidak menyebabkan berlaku kesesakan.
Justeru tegasnya, bilangan petugas tidak lebih 10 orang bagi setiap haiwan yang mengambil kira keluasan kawasan tersebut bagi mengelak 3S iaitu sesak, sempit dan sembang dekat.
Beliau juga menasihatkan penganjur mengadakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan petugas, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera.
Semua petugas juga katanya, wajib memakai pelitup muka dan memastikan jarak fizikal lebih satu meter antara mereka selain tidak berlaku ruang agak rapat dan perbualan jarak dekat.
Segala saranan itu jelasnya, sejajar SOP diwarta Majlis Keselamatan Negara dan atas nasihat semua mufti negeri melalui persidangan Jawatankuasa Muzakarah Khas dibuat baru-baru ini.
Beliau juga menjunjung kasih perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pelaksanaan ibadah itu di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dengan mematuhi SOP kebiasaan baharu buat tahun kedua.










