Persepsi struktur sukuk tidak patuh syariah jejas keyakinan

Persepsi struktur sukuk tidak patuh syariah jejas keyakinan pelabur asing

MOHAMMAD FAIZ MOHAMMAD AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persepsi bahawa sebahagian struktur sukuk tidak memenuhi piawaian syariah antarabangsa berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur asing, meskipun pasaran modal Islam Malaysia kekal kukuh dengan penguasaan sekitar 64 peratus ketika ini.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, perkara itu timbul susulan perbincangan mengenai Draf Piawaian Syariah No. 62 (SS62) mengenai sukuk yang mempersoalkan struktur semasa bagi beberapa jenis sukuk.

“Terdapat pandangan bahawa sebahagian struktur tersebut mungkin tidak menepati tafsiran prinsip syariah oleh pihak tertentu di peringkat global.

“Sekiranya tafsiran ini diterima secara meluas, sebahagian besar sukuk yang diterbitkan berisiko dianggap tidak patuh syariah dari perspektif pelabur antarabangsa,” katanya pada sidang media Pelancaran Laporan Tahunan 2025 (AR2025) di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus boleh memberi implikasi kepada aliran dana asing ke dalam pasaran modal tempatan.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan Malaysia berbeza dan tidak dijangka memberi kesan besar kepada pasaran domestik, namun isu tersebut kekal sebagai cabaran struktur yang perlu ditangani bagi mengekalkan kedudukan negara sebagai hab kewangan Islam.

“Pasaran turut berdepan persoalan mengenai pelan alternatif sekiranya struktur sukuk sedia ada tidak lagi diterima di peringkat global.

“Ini termasuk keperluan membangunkan instrumen baharu yang lebih diyakini pelabur.

“Selain itu, industri turut berdepan cabaran persepsi bahawa produk kewangan Islam lebih mahal berbanding konvensional, yang sebahagiannya berpunca daripada struktur sedia ada yang lebih kompleks,” ujarnya. 

Sementara itu, beliau berkata, wujud keperluan untuk menilai semula bukan sahaja aspek pematuhan syariah, tetapi juga nilai tambah sesuatu produk, sejajar dengan peralihan daripada konsep “halal” kepada “tayyib” yang menekankan manfaat dan kualiti.

“Sehubungan itu, pemain industri digesa memperkenalkan lebih banyak produk inovatif yang bukan sahaja patuh syariah, tetapi menawarkan kelebihan lebih jelas berbanding instrumen konvensional.

“Ia termasuk model takaful yang menggabungkan elemen perlindungan dan pulangan pelaburan.

“Dalam masa sama, penerokaan sumber pembiayaan baharu termasuk penggunaan dana kos rendah bagi projek infrastruktur serta adaptasi perubahan iklim turut dilihat mampu memperkukuh peranan kewangan Islam dalam ekonomi.

“Justeru, kejelasan piawaian, inovasi produk dan penyesuaian terhadap keperluan semasa dilihat kritikal bagi memastikan Malaysia terus mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus penguasaan dalam pasaran modal Islam pada masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN