KUALA LUMPUR: Pengacara dan personaliti televisyen popular, Hawa Rizwana mengakui tidak mudah untuk menerima pelawaan menjadi duta produk sementelah jadual kerja yang padat.
Pemilik nama sebenar Hawa Rizwana Ahmad Redzuan itu bagaimanapun terdetik hati untuk menerima tawaran sebuah jenama selepas ‘disunting’ kerana percaya akan keberkesanannya kepada masyarakat.
“Tapi apabila saya mengetahui lebih lanjut tentang Estika Medispa, tentang komitmen mereka terhadap kualiti dan kepercayaan pelanggan, saya rasa ini adalah jenama yang saya boleh wakili dengan penuh keyakinan,” katanya.
Dalam pada itu, Estika Medispa, medispa kecantikan Malaysia yang kini beroperasi dengan 37 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia, mencatatkan peningkatan jualan dan kesedaran jenama yang ketara susulan pelantikan Hawa Rizwana sebagai duta rasmi jenama mereka.
Langkah strategik itu, menurut pihak pengurusan Estika Medispa, adalah hasil penelitian terhadap keperluan jenama dalam landskap industri kecantikan Malaysia yang semakin ‘competitive’.
Dalam persaingan yang semakin sengit, pihak pengurusan menyedari bahawa kualiti perkhidmatan semata-mata tidak mencukupi sebaliknya kepercayaan awam perlu dibina secara aktif dan sistematik.
Menurut Ketua Pegawai Operasi syarikat terbabit, Dr. Mohd Hanafi Abdull Habir, Hawa Rizwana dipilih bukan semata-mata kerana populariti, tetapi juga disebabkan kredibiliti yang beliau bawa. Wajah yang dikenali bukan kerana kontroversi, tetapi kepercayaan.
“Kolaborasi bersama Hawa Rizwana telah membawa Estika Medispa ke khalayak yang lebih luas. Hari ini, lebih ramai rakyat Malaysia mengenali kami, dan yang lebih penting, mereka mempercayai kami. Itulah yang kami cari,” katanya.










