SEREMBAN: Seorang pendakwah bebas direman selama lima hari sehingga 26 April ini kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kepentingan peribadi.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an tersebut dikeluarkan oleh Majistret Sara Afiqah Zulfikli selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Seremban, di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang juga pengerusi NGO berkenaan ditahan sekitar pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sejak September 2022 hingga kini.
“Suspek dipercayai menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat dengan dua ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan wang kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya serta lapan lagi syarikat yang turut dimilikinya,” katanya.
Tambah sumber, susulan siasatan itu, SPRM telah membekukan 15 akaun bank melibatkan tiga akaun persendirian, tiga akaun NGO dan sembilan akaun syarikat dengan jumkah keseluruhan sekitar RM16.5 juta.
Selain itu, pihak berkuasa turut menyita wang tunai termasuk dalam mata wang Riyal dan dolar Singapura, tiga utas jam tangan, tiga beg tangan, lima gelang, sebentuk cincing, satu utas rantai dan 51 keping emas
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










