fbpx

Pengusaha pusat cuci kereta bakal gulung tikar jika tidak dibenarkan beroperasi

ZUHAIRI AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengusaha dan pemilik pusat cucian kereta memohon kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk mereka menjalankan semula perniagaan yang ditutup ketika ini ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown). 

Rata-rata pengusaha pusat itu kini buntu memikirkan nasib mereka yang hilang punca pendapatan dan terpaksa menanggung beban membayar sewa kedai, gaji pekerja serta menyara diri dan keluarga. 

Jika berterusan, dibimbangi ramai pengusaha pusat itu akan gulung tikar dan paling menyedihkan terpaksa menanggung bebanan hutang yang tinggi. 

Pengerusi Persatuan Pengusaha Cuci Kereta Malaysia (PCKM), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, mereka hairan pusat itu tidak dibenarkan beroperasi sedangkan perkhidmatan disediakan seiring dengan saranan kerajaan dalam meningkatkan kekerapan aktiviti cucian dan pembersihan yang terbukti dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, pusat itu bukan sahaja memberi perkhidmatan cucian semata-mata, malah melaksanakan perkhidmatan pembasmian kuman bagi bahagian dalaman kenderaan yang mana mereka menggunakan bahan sanitasi nyah kuman Covid-19 yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan. 

“Perkhidmatan ini dilakukan atas inisiatif kami bagi setiap kenderaan yang ingin dicuci untuk mengelakkan penularan virus kepada pekerja dan pelanggan lain. 


“Jadi mereka merayu kepada kerajaan khususnya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memberikan kelonggaran kepada pusat cucian kereta untuk beroperasi. 

“Pusat cucian kereta merupakan sektor yang melaksanakan pembersihan sistematik yang mana tidak melibatkan sentuhan fizikal, jadi ia bukan penyebab utama penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Zuhairi berkata, kerajaan dirayu mempertimbangkan perkara itu sebagai mana kebenaran yang diberikan kepada bengel kenderaan dan kedai tayar. 

“Ini melibatkan soal survival kehidupan mereka. Rata-rata mereka kini langsung tiada punca pendapatan. Bagaimana mereka hendak menyara keluarga dan membayar sewa serta hutang jika operasi pusat ini terus ditutup? 

“Sejak menularnya Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka mematuhi arahan kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun mengalami kemerosotan dalam perniagaan, namun kini mereka sudah sudah perit menghadapi ujian dalam perniagaan ini,” katanya.

Menurutnya, PCKM merayu kepada kerajaan khususnya Ismail Sabri supaya mempertimbangkan memberi kebenaran kepada pusat cucian kereta untuk beroperasi dalam tempoh total lockdown ketika ini. 

“Setiap pengusaha telah menjalankan tanggungjawab membayar lesen, permit dan juga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memberi kerjasama penuh kepada kerajaan. Setidak-tidaknya benarkanlah pusat itu dibuka pukul 8 pagi hingga 8 malam,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI