Simeone buru kejuaraan sulung

Simeone buru kejuaraan sulung

ADEMOLA Lookman menjadi wira Atletico Madrid apabila meledak gol untuk memastikan skuad kendalian Diego Simeone melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui pasukannya berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan sulung Liga Juara-Juara Eropah selepas menyingkirkan Barcelona dalam aksi timbal balik suku akhir, semalam.

Meskipun tewas 1-2 pada aksi timbal balik di laman sendiri, kelebihan agregat 3-2 hasil kemenangan 2-0 di Camp Nou minggu lalu sudah memadai untuk membawa skuad Rojiblancos mara ke kelompok empat terbaik.

Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir selepas Atletico bangkit daripada ketinggalan dua gol awal, sekali gus mempamerkan semangat juang tinggi yang menjadi identiti pasukan kendalian Simeone.

“Kami akan menghadapinya dengan penuh keyakinan. Kami tahu kekuatan dan kelemahan kami. Kami sudah bersedia. Inilah sasaran yang kami kejar sejak sekian lama,” katanya selepas perlawanan.

Untuk rekod, Simeone pernah membawa Atletico ke pentas final pada 2014 dan 2016, namun kedua-duanya berakhir dengan kekecewaan apabila tewas kepada seteru setempat, Real Madrid.

Kini, selepas tujuh tahun tidak menjejakkan kaki ke separuh akhir sejak 2017, Atletico dilihat kembali mengaum dan bakal berdepan sama ada Arsenal atau Sporting Lisbon.

Sementara itu, penyerang berpengalaman, Antoine Griezmann menegaskan keyakinan tidak pernah luntur biarpun pasukan ketinggalan awal menerusi jaringan Lamine Yamal dan Ferran Torres.

Gol penting Ademola Lookman akhirnya memastikan Atletico terus bernyawa sebelum mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

“Dengan sokongan penyokong dan kualiti yang kami ada, kami yakin mampu menjaringkan gol.Memang sukar, kami tidak cukup tenang mengawal permainan, tetapi yang penting kami mara,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN