BARCELONA: Bintang No. 2 dunia, Carlos Alcaraz memulakan kempen Terbuka Barcelona dengan meyakinkan selepas menewaskan pemain kelayakan dari Finland, Otto Virtanen 6-4, 6-2 dalam pusingan pertama, kelmarin.
Pilihan utama dari Sepanyol itu yang tewas di final Monte Carlo Masters kepada Jannik Sinner minggu lalu, mengakui mengambil masa untuk menyesuaikan diri pada awal permainan sebelum kembali menemui rentak sebenar.
Alcaraz memburu gelaran ketiga di Barcelona selepas kejayaan pada 2022 dan 2023, turut berpeluang merampas kembali kedudukan selaku pemain No.1 dunia sekiranya berjaya menjuarai kejohanan berkenaan.
“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih di sini dan sesi pagi tadi adalah latihan pertama saya di Barcelona, jadi agak sukar untuk mendapatkan rentak pada awalnya. Namun, saya gembira dapat mengatasi masalah pada set pertama dan secara beransur-ansur mula bermain dengan lebih baik,” katanya.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan Alcaraz menerima rawatan pada bawah lengannya, namun dia menjelaskan bahawa ia bukan kecederaan serius, sebaliknya hanya masalah kecil biasa akibat jadual kejohanan yang padat.
Alcaraz akan berdepan pemain Republik Czech, Tomas Machac pada pusingan kedua.
Sementara itu, pilihan kedua kejohanan, Lorenzo Musetti turut tidak berdepan masalah apabila menewaskan Martin Landaluce 7-5, 6-2 untuk kemenangan pertamanya sejak Terbuka Australia.
Pemain Australia, Alex de Minaur pula mengatasi Sebastian Ofner 7-6 (9/7), 6-4 manakala kejutan berlaku apabila Karen Khachanov tewas kepada Camilo Ugo Carabelli 6-3, 6-4.
Pilihan kelima, Andrey Rublev turut melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan Mariano Navone, manakala Arthur Fils mencatat kemenangan sengit ke atas Terence Atmane 4-6, 6-4, 7-6 (9/7). – AGENSI










