KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tentang pengambilan khas guru oleh Kementerian Pendidikan, baru-baru ini.
Ketua Penerangan Armada, Mohd. Ahsraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pengambilan graduan pendidikan baharu pada masa tahun-tahun berikutnya tetap diteruskan.
“Ahmad Zahid menyatakan sama ada akan ada pengambilan graduan pendidikan baharu pada tahun-tahun mendatang.
“Ya, pengambilan diteruskan kerana pengambilan guru secara one-off ketika ini bertujuan mengisi jawatan sedia ada yang sepatutnya diisi sejak dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid dalam kenyataan di Facebooknya hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap hasrat Kementerian Pendidikan untuk mengambil 18,702 bakal guru dari pelbagai latar belakang pendidikan.
Iklan pengambilan itu akan dikeluarkan pada 7 Julai ini dan calon berjaya akan ditempatkan di sekolah di seluruh negara bermula Oktober ini.
Kata beliau, kementerian itu wajar mengambil graduan pendidikan terlebih dahulu kerana masih ada dalam kalangan mereka terpaksa menunggu sehingga enam tahun untuk diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan.
Mengulas berkenaan keperluan untuk mengambil graduan selain bidang pendidikan, beliau berkata, pengambilan tersebut akan dipertimbang jika calon berjaya daripada bidang pendidikan tidak mencukupi kerana ketidakpadanan opsyen.
“Maka, tidak timbul isu graduan pendidikan disisihkan daripada pengambilan khas ini.
“Andainya Ahmad Zahid terlupa, perlu diingat bahawa isu kekurangan guru ini hasil daripada keputusan kerajaan antaranya pada tahun 2016, kerajaan mengurangkan pengambilan guru bagi Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Isu pendidikan tidak wajar dijadikan bahan untuk sesetengah pihak semata-mata untuk mencari perbatuan politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE