Penegasan Farahdhiya - Utusan Malaysia

Penegasan Farahdhiya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasanya dilihat sudah menjadi satu trend apabila ada segelintir penerbit dalam industri seni tanah air mengangkat pempengaruh dan figura yang popular di media sosial sebagai pelakon mahupun penyanyi.

Malah, kita sendiri dapat lihat kini seakan begitu mudah seseorang individu yang mempunyai jumlah ramai pengikut dalam media sosial diambil sebagai selebriti di negara ini.

Persoalannya, adakah segelintir penerbit industri hiburan mengangkat seseorang untuk menjadi selebiriti berdasarkan bakat ataupun rupa yang menawan semata-mata?

Bagi pelakon dan penyanyi versatil, Farahdhiya, sesiapa sahaja boleh diangkat sebagai golongan anak seni.

Bagaimanapun, dia tidak sama sekali bersetuju mereka yang tiada bakat dalam nyanyian mahupun lakonan diangkat sebagai selebriti.

“Sesiapa pun boleh diangkat menjadi golongan anak seni, cuma saya tidak bersetuju mereka yang tidak berbakat.

“Tidak kisah pun pempengaruh yang penerbit nak ambil, asalkan mereka berbakat serta ada pakej untuk menjadi selebriti.

“Tetapi, kalau penerbit mengambil pempengaruh oleh kerana paras rupa tetapi bakat tiada, kualiti produk tidak menjadi sebagus mana pun nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Farahdhiya tidak menafikan industri hiburan kini memerlukan wajah baharu, namun haruslah juga mempunyai bakat dalam menceburi bidang berkenaan.

“Jika mereka menjadi selebriti sekali pun, saya tidak kisah kerana itu atas rezeki masing-masing. Industri juga perlukan wajah baharu.

“Namun, bagi saya jika awak ada bakat dan pakej itulah yang terbaik,” ujarnya.

Belajar, tak pernah ada garis masa.

Pelakon yang sudah 17 tahun bertapak dalam industri hiburan tanah air menasihati para pelakon baharu termasuk dirinya supaya tidak mempunyai sifat bodoh sombong jika sudah popular.

Malah, penyanyi yang popular dengan lagu Bertahta Di Hati itu turut mengingatkan setiap artis baharu agar belajar perkara yang baharu untuk memperbaiki diri.

“Belajar sesuatu tidak pernah ada garis masa, saya pun hari-hari masih belajar perkara yang baharu untuk memperbaiki diri sendiri.

“Justeru itu, jika anda memang ada bakat, kita perlu mengasah lagi bakat yang ada serta jangan jadi bodoh sombong, malah lupa diri setelah popular,” tegasnya.

Farahdhiya juga mendakwa ramai selebriti yang ada penyakit lupa diri setelah diri berjaya menempah nama dalam industri ini.

“Masalahnya ramai penyakit lupa diri yang berlaku dalam kalangan artis kita. Bukan setakat artis baharu sahaja, artis yang sudah bertahun dalam industri ada yang begitu. Berlagak tak tentu hala.

“Industri kita ini tidak besar mana pun, tidak usahlah nak berangan seperti level Hollywood, jauh sangat,” tegasnya.

Sementara itu, Farahdhiya menegaskan, setiap selebriti tanah air harus memiliki sikap yang baik sebagai figura yang semakin hari menjadi perbualan hangat warganet.

“Bagi saya, sikap itu penting. Itu yang akan mementukan sejauh mana kita boleh pergi.

“Jika awak ada bakat tetapi tidak mempunyai sikap yang baik, buat orang menyampah, dan awak akan sekejap sahaja dalam industri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN