PUTRAJAYA: Sesi pembukaan Parlimen bakal menjadi medan kepada kesemua parti politik termasuk UMNO yang memungkinkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memutuskan jajaran politik baharu bersama PKR atau DAP.
Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, keputusan itu tidak mustahil dilakukan presiden parti namun perlu dilakukan di dalam Dewan Rakyat.
Ini kerana kata beliau, segala keputusan perlu dibuat dalam Parlimen sebagai satu keputusan muktamad, berwibawa dan legitimate, sekali gus sebarang keputusan yang dibuat di luar Dewan Rakyat boleh dipertikaikan pada bila-bila masa.
Beliau pada masa sama menjelaskan, kemungkinan lain boleh berlaku termasuk kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan parti lain di luar kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri ekoran UMNO menarik diri menyokong Bersatu selepas 1 Ogos ini.
“Keputusan dalam Dewan Rakyat dan Parlimen, muktamad, berwibawa, legitimate. Sebarang keputusan di luar dewan dalam bentuk Akuan Bersumpah (SD) dan sebagainya boleh dipertikaikan pada bila-bila masa menjadikan keputusan itu tidak muktamad.
“Pengiktirafan dunia terhadap kerajaan adalah juga bergantung kepada amalan demokrasi yang bertunjangkan semua keputusan di dalam Dewan Rakyat. Sebarang keputusan di luar dewan juga dianggap tidak demokratik dan kesan langsungnya negara-negara dunia yang beramalkan dengan amalan demokrasi akan mengetepikan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyatakan pendirian tegas parti mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Dalam satu kenyataan, beliau menyatakan, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi raja-raja pemerintah.
Dalam pada itu Ahmad Tajuddin berkata, sebaik sahaja UMNO bertindak keluar daripada kerajaan PN, tidak mustahil parti-parti lain akan membentuk kerjasama sebagai strategi masing-masing untuk menjadikan parti mereka dominan.
Katanya, UMNO tidak mustahil memilih DAP dan PKR, begitu juga Bersatu dan Pas mungkin kembali kepada UMNO, namun UMNO perlu berada di hadapan.
Beliau berkata, bagaimanapun sebagai Presiden, Ahmad Zahid perlu tegas kekal dengan apa juga keputusan Perhimpunan Agung UMNO dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bukan dasar seperti mana keputusan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO.
“Institusi presiden bermaksud, presiden tegas dan kekal dengan ideologi parti. Presiden juga perlu tegas kekal dengan apa juga keputusan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.
Ahmad Tajuddin sebelum ini pernah menjelaskan, jajaran politik baharu UMNO bersama parti DAP dan PKR tidak mustahil boleh berlaku memandangkan Pas dahulu pernah bersama kedua-dua parti itu di bawah Pakatan Rakyat (PR).
Kata beliau, ahli-ahli UMNO khusunya perlu menerima kemungkinan situasi itu jika kebiasaan baharu politik tersebut benar-benar berlaku.










