Pelan Strategik DBP terus martabatkan Bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Pelan Strategik DBP terus martabatkan Bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin hari ini melancarkan Pelan Strategik  2021-2025 sempena ulang tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-65.

Beliau berkata, pelan itu dirangka memandangkan DBP menggalas tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Atas kesedaran ini, pelan strategik dibangunkan bertujuan untuk mengindustri dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu.

“Pelan ini memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian secara langsung menerusi media sosial milik DBP di ibu negara hari ini.

Katanya, bagi menjayakan pelan ini, komitmen kesungguhan, kesepaduan, ketekunan dan kerjasama semua pihak khususnya pengurusan tertinggi dan warga kerja amat diperlukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Pada masa sama, Radzi berkata DBP juga mempelbagaikan pendekatan bagi mempromosikan kandungan pustaka warisan seperti pantun, peribahasa dan simpulan bahasa.

“Ini termasuk penggunaan platform digital sesuai perkembangan semasa.

“Dari segi penerbitan, sudah tentu ada pasang surutnya tetapi saya yakin DBP berada di landasan betul bagi menghadapi cabaran dunia digital dalam menghasilkan penerbitan berkualiti,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada DBP atas usaha dan dedikasi sepanjang 65 tahun berkhidmat untuk negara.

“Syabas dan tahniah atas kejayaan DBP menyediakan pelan strategik ini.

“Perjuangan bahasa adalah perjuangan murni yang tidak akan padam dalam sanubari setiap warganegara. Saya doakan yang terbaik bagi tempeh-tempoh mendatang,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN