NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Israel secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa apabila memperluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
Lapor Arab News, badan dunia itu menegaskan, penempatan tersebut tidak sah dan mendesak kerajaan baharu Israel menghentikan tindakan berkenaan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Wakil PBB Ke Asia Barat, Tor Wennesland mengetengahkan Resolusi Majlis Keselamatan 2016 yang mengisytiharkan penempatan Yahudi berkenaan tidak mempunyai kesahan undang-undang.
Resolusi itu menuntut rejim Zionis menghentikan kerja-kerja meluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, tanah yang akan dimasukkan dalam tuntutan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
Wennesland dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan mengenai laporan setebal 12 muka surat oleh Guterres menyatakan, pihaknya ‘sangat bimbang’ dengan tindakan Israel menambah 540 unit penempatan haram Yahudi di Har Homa, Baitulmuqaddis Timur selain menempatkan pos kawalan.
Beliau menegaskan, perkara itu juga tidak sah di bawah undang-undang Israel.










