Mengaku bersalah gagal lapor pemberian rasuah, pegawai Imigresen didenda RM35,000 - Utusan Malaysia

Mengaku bersalah gagal lapor pemberian rasuah, pegawai Imigresen didenda RM35,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Imigresen didenda RM35,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM21,100 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Muhamad Solihan Johari, 37, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayarnya. Denda itu
kemudian dijelaskan.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Solihan didakwa sebagai Pegawai Imigresen Gred KP 19 di Jabatan Imigresen Bangunan AMC Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang telah diberikan wang suapan berjumlah RM21,100 oleh seorang lelaki berusia 44 tahun melalui akaun simpanan milik seorang wanita.

Wang itu diberikan bagi membantu memproses dokumen perjalanan warga negara asing melibatkan visa, pas dan permit Jabatan Imigresen.

Tertuduh telah melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang menggalakkan intergriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Taman Connought, Lebuh Raya Timur Barat Cheras di sini antara 14 Februari dan 25 Mei 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan kesalahan yang telah dilakukan.

“Saya juga mempunyai dua anak yang masih kecil selain saya sendiri menghidap penyakit slip disc (tulang rawan tergelincir),” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda kepada tertuduh antara RM25,000 hingga RM40,000 berikutan tertuduh mengaku bersalah pada kali pertama sebutan pertuduhan dibacakan.

Sebelum ini media melaporkan SPRM membongkarkan kegiatan salah guna cap di sempadan negara sejak setahun lalu dengan penahanan 46 individu termasuk 27 anggota dan pegawai imigresen.

Sindiket tersebut menyasarkan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin dengan khususnya di KLIA2, Sepang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya