KESEMPATAN bertanya khabar penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Cinta Kita ini manfaatkan saya sebaik mungkin kebetulan sudah lama tidak berhubung dengannya.
Apa lagi ketika ada suara-suara belakang yang mendakwa dirinya kelihatan semakin kurus, menimbulkan rasa bimbang sama ada mungkinkah kesihatannya merosot atau dia menyimpan cerita di sebaliknya.
Tidak cuma itu, ramai juga ingin tahu apakah benar dia sudah meninggalkan dunia seni hiburan? Sementelah sebagaimana pelawak dan pengacara Nabil Ahmad, penyanyi ini juga dilihat selesa mendalami ilmu agama sebagai sebahagian daripada jemaah tabligh.
Barangkali ada yang selama ini menyimpan tanggapan yang salah, mengkritik dan berkata di belakang kerana hairan dengan perubahan tingkah dan cara penyanyi ini.
Jadi, tiada salahnya jika Pancaindera membuka ruang untuk Hafiz untuk berkongsi luahan rasa bagi menjernihkan pandangan yang tidak tepat.
Bagaimana keadaan Hafiz sekarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini?
Seperti kebanyakan orang lain, saya juga cuma duduk di rumah dan meluangkan masa bersama isteri, anak-anak dan keluarga. Saya percaya ada hikmah Allah SWT nak beri dan kita cuba cari jalan terbaik sebagai sumber pendapatan.
Khabarnya Hafiz juga semakin susut berat badan, sedang sakitkah?
Tak tahulah saya fikir yang baik sahaja. Mungkin faktor usia. Tapi saya sihat saja dan sudah buat pemeriksaan kesihatan di hospital. Alhamdulillah semua okey. Nak layan orang tuduh saya macam-macam, penatlah. Ada yang kata saya ambil baranglah, kancinglah. Nak kenakan saya tak apa lagi, tapi jangan usik keluarga.
Baru-baru ini Hafiz ada buat satu hantaran dalam Instagram berhubung hal silaturahim selain mendakwa diri bodoh agama. Apa yang mencetuskan perkara itu pada Hafiz?
Betul, diri saya tak ada apa-apa dan cuma cakap benda yang betul. Tetapi tidak berkait tentang sesiapa. Ibaratnya saya sedang berpesan dengan diri sendiri dan semua orang bahawa kita kena jaga ikatan silaturrahim dan ukhuwah dengan sesiapa sahaja. Contohnya dalam tempoh PKP ini, sebagai sesama insan, tiada salahnya kita saling bertanya khabar walau tidak dapat bertemu, sama ada dengan kawan-kawan mahupun keluarga. Tiada niat lain saya tulis tentang itu dalam Instagram tempoh hari melainkan idea itu datang daripada-Nya dan saya cuma menyampaikan. Saya bukan ustaz atau maulana, tak pandai nak borak, jadi saya tulis mengikut kata hati sahaja.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Hafiz dilihat selesa mendalami ilmu agama. Macam mana Hafiz rasa dan lihat sendiri perubahan pada hidup?
Alhamdulillah, rasa gembira. Saya rasa inilah kebahagiaan kita sebenarnya. Tetapi saya faham, masing-masing ada terma kebahagiaan pada mereka. Asalkan jangan mudah terus menghukum orang. Nabi pun tak ajar untuk kita menghukum orang tetapi tunjukkanlah akhlak yang baik. Benda baik tak akan kita tak nak ikut? Percuma pula itu, tak akanlah tak nak raih kebaikan bukan? Tapi tak naklah cakap lebih-lebih pasal ini, saya cukup takut ada orang tersinggung.
Kalau Hafiz kongsikan perkara baik, kenapa fikir akan ada yang tersinggung?
Ish, takut. Sebab kita tak tahu adakah kata-kata kita ini sesuai. Kadang-kadang perbuatan pun orang boleh tersinggung, inikan pula kata-kata. Ada orang depan kita dia mungkin cakap okey, tapi dalam hati berkata lain.
Maaf bertanya, adakah memang benar Hafiz memang bersama jemaah tabligh sejak beberapa tahun ke belakangan ini?
Ramai yang selalu salah tanggapan pada tabligh. Ada yang sebut sertai atau ‘join’ sedangkan ia bukan sebuah persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan tertentu. Orang tak faham yang sebenarnya kita semua ini adalah tabligh tetapi yang memberikan hidayah itu adalah Allah SWT. Saya tak berani nak cakap panjang sebab bimbang ada salah faham.
Didakwa acah-acah nak jadi baik? Apa pula komen Hafiz?
Kita memang nak jadi baik sebab tahu diri ini tidak baik. Biarlah orang kata acah-acah baik, pakai jubah, pakai kopiah atas kepala dan kemudian ada yang sindir alahai kau ini acah baiklah. Saya tak sempurna dan berdosa, jadi saya nak pahala itu.
Ada yang berpendapat, jika bersama jemaah tabligh, Hafiz mungkin sudah tidak lagi mahu menyanyi atau terlibat dengan dunia hiburan. Boleh jelaskan situasi ini?
Ustaz saya ajar jangan terus tinggalkan dunia. Nabi pun tak ajar untuk membidaah. Tak adalah terus kata haram. Saya masih lagi menyanyi dan tak tinggalkan dunia seni. Bila masa pula saya kata nak berhenti, tak pernah pun. Kita kena ubah mentaliti ini. Jemaah tabligh lagi marahkan saya kalau cakap nak berhenti kerja. Saya faham apa yang mereka maksudkan. Kalau berhenti, macam mana saya nak kongsikan ilmu dan kefahaman yang ada ini dengan orang lain dalam industri kan.










