MBI bantu dua beranak terkesan PKP - Utusan Malaysia

MBI bantu dua beranak terkesan PKP

KISAH hidup R. Suganthi dan anaknya, S. Kyiran yang disiarkan Utusan Online semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membantu dua beranak yang mengalami kesempitan hidup akibat hilang pekerjaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, MBI sedang berusaha untuk menempatkan dua beranak itu, R. Suganthi, 53, dan anaknya, S. Kyiran, 33, di rumah pangsa MBI.

Menurutnya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kesempitan hidup dua beranak itu semalam, beliau berusaha memberikan bantuan segera iaitu sumbangan wang tunai dan barang makanan bernilai RM500.

“Sumbangan barang makanan ini adalah kerjasama MBI dengan pasar raya Econsave Jelapang di bawah program MBI prihatin,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada dua beranak itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman.

RUMAIZI Baharin menyampaikan sumbangan barang makanan kepada R. Suganthi di Ipoh. – UTUSAN/IHSAN MBI

Rumaizi berkata, pihak Econsave juga menawarkan pekerjaan kepada Suganthi sebagai pengawal keselamatan di pasar raya itu di Jelapang.

Sementara itu, Suganthi berkata, dia akan menerima tawaran pekerjaan itu apabila kecederaan tulang rawan tergelincir atau slip disc yang dialaminya pulih.

Menurutnya, buat masa ini masih dalam tempoh rawatan akibat kecederaan tersebut.

“Saya akan menghubungi pihak Econsave Jelapang sebaik sahaja kecederaan ini pulih kerana doktor memberikan saya cuti selama setahun disebabkan kecederaan ini,” katanya.

Suganthi yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej swasta di sini hilang punca pendapatan apabila PKP dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

Suganthi berkata, dia dan anaknya yang terlibat kemalangan jalan raya pada 2011 memerlukan bantuan perubatan RM500 seorang.

Kesempitan hidup dua beranak itu mendapat perhatian setelah mereka mendakwa terputus bekalan makanan selepas hilang pekerjaan berikutan pelaksanaan PKP.

Mereka hidup menumpang di rumah rakan mengakui pada mulanya malu untuk meminta bantuan, namun terpaksa merayu keprihatinan orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya