KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berharap penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) edisi Ke-22 di Selangor dapat diteruskan walaupun dalam skala lebih kecil sepertimana saranan dilontarkan oleh Terengganu semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah yang menyarankan penangguhan temasya dwitahunan itu tetapi berharap perkara itu dilihat kembali oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Katanya, barisan atlet Kelantan sudah membuat persiapan hampir dua tahun, iaitu sejak berakhirnya Sukma Sarawak pada 2024.
“Banyak masa, tenaga dan sumber kewangan telah digunakan dalam membuat persiapan dan penangguhan Sukma Selangor dibimbangi akan menyebabkan moral serta prestasi atlet terlibat merosot.
“Kalau perlu dikecilkan skop kejohanan pun tidak mengapa. Sekurang-kurangnya temasya sukan ini dapat diteruskan,” katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini. – UTUSAN










