KUANTAN: Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti) mencadangkan empat strategi tambahan yang mampu dilaksanakan oleh pihak universiti bagi menyokong pelan perlaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Raja Shah Erman Raja Arifin berkata, antaranya memperkasakan modal insan di universiti awam dan mengukuhkan peranan sebagai petugas sukarelawan pasukan pengurusan bencana di semua sektor barisan hadapan.
Menurutnya, menerusi cara sedemikian dapat membantu semua pihak dalam menyalurkan sumbangan bersasar bagi pihak kementerian kepada golongan yang memerlukan secara berfasa.
“Seterusnya, kapasiti kemudahan, infrastruktur dan infostruktur yang dimiliki oleh universiti awam bukan sahaja sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) tetapi pusat sehenti yang optimum.
“Ini bagi memberikan sokongan kepakaran terhadap masalah kesihatan mental atau emosi, penasihatan kewangan dan sokongan keluarga termasuk secara dalam talian.
“Selain itu, mewujudkan Pusat Latihan Graduan bagi memulakan dan mencipta kerja melalui pendekatan digital dengan bantuan kepakaran dalaman universiti melalui menawarkan Geran Permulaan Usahawan Mikro Graduan (dan juga boleh diperluaskan kepada staf universiti yang sebelum ini mempunyai sumber pendapatan kedua yang turut terjejas),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Raja Shah Erman berkata, pihak universiti juga mampu menawarkan konsultansi dan kursus jangka pendek kepada komuniti setempat.
“Mana-mana keluarga terputus punca pendapatan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk pengusaha-pengusaha dalam kampus di setiap universiti boleh menceburkan diri dalam bidang baru seperti pertanian, penternakan, asas kerja elektrik, mekanikal dan awam serta perusahan berasaskan makanan ringan.
“Selain itu, warga universiti perlu mengutamakan aspek kesihatan bagi membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19.
“Warga universiti perlu memastikan sasaran untuk menurunkan kes harian dengan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi malah pelaksanaan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) terus diperkasakan tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.
Justeru katanya, pihak Masti yang dibarisi Pentadbir Profesional di lebih kurang 20 universiti awam seluruh negara membina harapan tinggi agar pelan Pemulih berjaya mencapai sasarannya.
“Kita menyeru agar kepimpinan negara terus peka untuk mendengar rintihan dan pandangan rakyat dari semasa ke semasa dalam meneruskan kelangsungan hidup serta membuat perancangan, keputusan lebih rasional dalam menentukan fasa kedua,” katanya.










