fbpx

24 Jun 2021, 12:17 pm

  TERKINI

Kita tunggu ‘vaksin’ Harimau Malaya

HARIMAU Malaya mempunyai misi 'getir' apabila turun menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai, UAE pada pukul 12.45 pagi nanti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA kali melayakkan diri ke Sukan Olimpik iaitu pada tahun 1972 di Munich, Jerman dan 1980 di Moscow, Rusia. Menang pingat emas pada tahun 2009 dalam pesta kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) di Vientiane, Laos dan pada tahun 2010 pula juara Piala AFF Asean. Kecemerlangan terus dicipta selepas berjaya mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia Tenggara 2011.

Lapan tahun kemudian, pasukan bola sepak Malaysia dengan laungan ‘Harimau Malaya’ sekali lagi melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2018, bagaimanapun tewas kepada Vietnam dengan agregat 2-3.

Sejarah ringkas kemasyhuran bola sepak negara sengaja ‘diimbas’ sebagai obor untuk membakar semangat skuad kebangsaan kita yang bakal menentang seteru lama, Vietnam pada perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam ini.

Pada perlawanan kelayakan pusingan pertama menentang UEA di Dubai 4 Jun lalu, skuad kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe kecundang dengan jaringan 0-4 – kekalahan yang mengundang kemarahan ramai peminat sukan nombor satu dunia ini.

Bagi mereka, penampilan enam pemain ‘kacukan dan naturalisasi’ ini yang dihadirkan untuk memperkuatkan skuad kebangsaan cukup mengecewakan, aksi yang diharapkan ‘keras dan mengancam’ rupa-rupanya hanya ‘lenggang kangkung’. Ada juga netizen yang kata, tidak berbaloi beri kerakyatan jika aksi yang dipamerkan hambar, lembik dan tidak agresif.

Malam ini adalah peluang terbaik Cheng Hoe dan barisan pemain didiknya menimbus kembali coretan dan nukilan kecewa peminat dengan kekalahan empat gol tanpa balas ketika menentang UEA. Ramai percaya skuad kebangsaan mampu menjadikan Vietnam sebagai tempat melampias dendam kekalahan sebelum ini.

Dalam pertemuan empat kali dengan Vietnam sepanjang Cheng Hoe menjadi ketua jurulatih, skuad Harimau Malaya kecundang tiga kali dan seri sekali kepada skuad Naga Emas ini. Dan aksi menentang Vietnam malam ini, akan menjadi pertemuan kelima.

Cheng Hoe sudah pasti mencaturkan taktikal dan strategi jitu selain mengharapkan pemain beraksi sepenuh ‘jiwa’ dalam misi menghidupkan peluang selain mahu memadamkan ‘mimpi ngeri’ dengan mengalahkan pasukan pimpinan ketua jurulatih warga Korea, Park Hang-seo.

Namun, jurulatih dan para pemain skuad negara jangan memandang ‘enteng’ dan harus mengakui bukan mudah untuk menumpaskan Vietnam yang terkenal dengan semangat juang tinggi. Dengan percaturan dan strategi, disiplin yang diserapkan oleh Hang-soe kepada pemain-pemainnya sudah pasti mewujudkan ‘benteng konkrit’ yang perlu dirobohkan oleh barisan serangan negara.

“Saya rakyat Korea yang diberikan tanggungjawab mengendalikan pasukan kebangsaan Vietnam. Jika gagal mendapat keputusan cemerlang, saya akan kemas beg dan pulang ke rumah. Itu saya tak dapat elak.” Begitulah tingginya disiplin yang ditunjukkan oleh Hang-seo.

Kita percaya dan yakin bahawa Cheng Hoe juga sependapat dengan Hang-soe. Memberi dan mengharap yang terbaik untuk pasukan dan negara. Walaupun sedar halangan yang menanti bukan rapuh. Pasukan yang bakal dilawan malam ini bukan pasukan belasahan, malah skuad Naga Emas ini semakin menunjukkan prestasi cemerlang.

Dalam media sosial, para netizen kini sudah siap menyediakan ruang untuk catatan keputuan malam ini. Aksi semua pemain terutama pemain ‘kacukan dan naturalisasi’ diharap tidak ‘replay’ aksi ketika menentang UEA.

Tatkala rakyat Malaysia kini dimendungi wabak Covid-19, kita mengharapkan skuad Harimau Malaya membawa ‘vaksin’ untuk kita.

#HarimauMalayaboleh! – UTUSAN