TAPAH: Polis akan memanggil seorang artis terkenal tanah air dan beberapa individu lain bagi membantu siasatan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam satu majlis sosial di sebuah ladang dekat Kampung Poh, Bidor, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kesemua mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan kes itu dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Kes melibatkan selebriti dan beberapa individu ini dikesan kira-kira pukul 2 petang tadi menerusi gambar tular di laman sosial Facebook.
“Kejadian dipercayai berlaku di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor yang mana kita mendapati terdapat pelanggaran SOP PKP 3.0 yang mana tiada penjarakan sosial di antara individu-individu yang terlibat selain tidak memakai pelitup muka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Wan Azharuddin, majlis itu dipercayai berlaku pada 24 Jun lalu yang mana siasatan mendapati gambar tersebut diambil oleh individu yang turut serta dalam majlis berkenaan.
Beliau berkata, perjumpaan itu dihadiri ahli peniagaan tempatan dan beberapa penduduk kampung yang mana aktiviti seperti jamuan dan karaoke turut diadakan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang majlis atau perhimpunan dalam tempoh PKP 3.0 selain mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini dan sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial, tangkap layar gambar beberapa individu termasuk artis terkenal tanah air bergelar Datuk yang didakwa menyertai ‘kenduri durian’ di Kampung Poh, Bidor. – UTUSAN ONLINE