Trump tuduh Elon Musk ‘hilang akal’ tolak usaha perdamaian - Utusan Malaysia

Trump tuduh Elon Musk ‘hilang akal’ tolak usaha perdamaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menuduh bilionair teknologi Elon Musk ‘hilang akal’ ketika perbalahan antara dua tokoh paling berpengaruh di dunia semakin memuncak dan berpotensi memberi kesan besar terhadap landskap politik serta ekonomi negara itu.

Dalam beberapa panggilan telefon kepada media AS pada pagi Jumaat, Trump membalas kenyataan Musk yang sehari sebelumnya melancarkan serangan luar biasa di media sosial terhadap Trump.

Serangan itu memuncak apabila Musk menuduh bekas presiden tersebut terlibat dalam ‘fail Epstein’ iaitu dokumen berkaitan pesalah seksual kanak-kanak yang disabitkan, Jeffrey Epstein.

Trump kemudian memuat naik kenyataan di platform Truth Social miliknya memetik peguam bela jenayah Epstein, David Schoen yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Musk.

“Saya boleh mengesahkan secara mutlak dan jelas bahawa (Epstein) tidak memiliki sebarang maklumat yang boleh memudaratkan Trump. Saya sendiri pernah bertanya kepadanya!” kata kenyataan Schoen.

Pertelingkahan ini menandakan peralihan dramatik dalam hubungan antara Trump dan Musk yang sebelum ini sering dilihat bersama terutamanya menjelang kempen pemilihan presiden 2024 dan awal tempoh Trump kembali ke Rumah Putih. Kini, status Musk sebagai ‘sahabat utama’ Trump dilihat semakin terhakis.

Trump, yang terkenal tidak menerima kritikan dengan mudah menyatakan rasa tidak puas hatinya secara terbuka pada Jumaat dan terus menunjukkan sikap bermusuh terhadap Musk walaupun ahli perniagaan itu membelanjakan hampir AS$300 juta (RM1.26 bilion) bagi menyokong kemenangan Trump yang kini berusia 78 tahun.

Dalam satu wawancara bersama ABC News, Trump ditanya mengenai laporan yang mengatakan satu panggilan telefon perdamaian dijadualkan bersama Musk pada hari yang sama.

“Maksud anda lelaki yang sudah hilang akal itu?” Jawab Trump sinis sambil menambah beliau tidak begitu berminat untuk bercakap dengan bekas sekutunya itu buat masa ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN