WELLINGTON: Seorang pembantu kanan kepada Perdana Menteri New Zealand meletak jawatan selepas didakwa merakam pekerja seks secara rahsia tanpa kebenaran dan mengambil gambar intim wanita lain secara sembunyi.
Michael Forbes yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Christopher Luxon meletakkan jawatan selepas sebuah portal berita tempatan melaporkan dia merakam audio sesi bersama pekerja seks secara rahsia dan turut mengambil gambar wanita di gimnasium tanpa pengetahuan mereka.
Luxon menyatakan dia terkejut dengan pendedahan itu namun belum dapat dipastikan sama ada Forbes telah melanggar undang-undang.
Susulan kejadian tersebut, Luxon mencadangkan agar undang-undang privasi baharu dirangka bagi menjelaskan kawasan kelabu dari segi perundangan.
“Sebagai rakyat New Zealand, kita semua berhak bertanya soalan yang sah, bagaimana kelakuan seperti ini boleh berlaku, dan adakah ia sah atau tidak? Saya pun mempunyai reaksi yang sama,” kata Luxon kepada media pada Khamis.
Luxon memberi bayangan kerajaan menimbangkan pindaan atau undang-undang baharu berkaitan privasi bagi menangani isu seumpama itu.
Dalam kenyataan yang dihantar kepada media, Forbes memohon maaf secara terbuka.
“Saya ingin memohon maaf yang setulus-tulusnya kepada semua wanita yang telah saya sakiti,” katanya.
Skandal itu terbongkar selepas seorang pekerja seks menyedari telefon Forbes merakam audio ketika dia mandi, menurut laporan siasatan yang diterbitkan portal Stuff pada Rabu.
Lebih mengejutkan, telefon bimbit Forbes turut didapati mengandungi gambar wanita dalam posisi mengaibkan di gim serta video yang dirakam dari tingkap yang menunjukkan wanita menukar pakaian pada waktu malam.










