Kedah benarkan ibadah korban - Utusan Malaysia

Kedah benarkan ibadah korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah membenarkan pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha yang akan disambut pada 20 Julai depan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menerusi kenyataan akhbar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), ibadah korban dibenarkan pada hari raya pertama hingga keempat dari pukul 7 pagi hingga 7 malam.

“Lokasi yang dibolehkan ibadah korban dijalankan ialah rumah sembelihan milik kerajaan, rumah sembelihan swasta yang mempunyai lesen dan keduanya tiada had bilangan haiwan korban.

“Sementara itu di masjid atau surau, premis persendirian dan kawasan lapang hanya dibenarkan lima ekor haiwan korban sehari,” katanya.

Menurutnya, setiap sembelihan korban perlu mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah, Pejabat Agama Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Bagi urusan penyembelihan, melapah, pembungkusan dan agihan, tidak lebih 12 petugas dibenarkan bagi satu-satu masa atau setiap ekor haiwan korban.

“Proses agihan tidak dibenarkan di tempat penyembelihan dan hendaklah diagihkan sendiri oleh petugas ke rumah-rumah peserta dan aktiviti kenduri juga tidak dibenarkan,” jelasnya.

Tambahnya, bagi urusan sanitasi, jawatankuasa ibadah korban perlu memastikan segala peralatan dan lokasi penyembelihan bebas bakteria mengikut tatacara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum dan selepas pelaksanaan korban.

“Petugas dan peserta juga perlu memenuhi kelayakan ditetapkan dan diutamakan bagi mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

“Jawatankuasa ibadah korban bertanggungjawab memastikan ibadah korban dalam tempoh PKP dapat dikawal dengan penuh ketegasan dan digalakkan melantik sukarelawan atau badan uniform untuk mengawal keselamatan lokasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN