PUTRAJAYA: Dua lokaliti di Kuala Lumpur selain empat lagi lokaliti di Sabah antara yang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad hingga 10 Julai ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu di Kampung Segambut Dalam, Segambut dan Jalan Kubur, Pantai Dalam yang telah merekodkan 131 kes.
Di Sabah pula jelasnya, meliputi Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih di Tawau serta Lorong 12, 15 dan 16, Taman Fajar dan Projek Perumahan Rakyat Taman Murni di Sandakan.
“Sembilan lokaliti pula ditamatkan PKPD esok antaranya Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada di Kuala Terengganu, Terengganu selain Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, baki tujuh lokaliti ditamatkan PKPD esok terletak di Sabah antaranya di Kampung Kadazan, Tawau; Taman Villa Felcra Nambazan, Penampang serta Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai, Kota Kinabalu.
Baki tiga lokaliti pula PKPD berakhir lebih awal daripada jadual sepatutnya iaitu Kampung Skim Cocos, Kunak; Taman Putri Warisan, Kota Kinabalu dan Taman Telipok Jaya, Tuaran.